PEMAIN Perak, Ronaldo Henrique Silva (dua kanan) mengasak penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat (kiri) pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


“APA lagi nak dikatakan, kami cipta banyak peluang namun gagal menghasilkan gol,” luah jurulatih Perak, Mehmed Durakovic selepas pasukannya tewas di laman sendiri Stadium Perak, di sini malam tadi kepada Melaka United.

Durakovic yang kecewa gagal mengumpul tiga mata bagaimanapun tidak menyalahkan pemainnya yang dilihat sudah memberikan usaha 100 peratus dalam perlawanan itu.

“Jadi kami terima hakikat kekalahan ini, kami menang sebagai satu pasukan dan kalah juga sebagai satu pasukan, kami tidak salahkan sesiapa walaupun kesilapan dilakukan adalah kesilapan individu.

“Kami akan cuba pulihkan diri secukupnya dengan cuti beberapa hari ini sebelum berdepan PJ City (Petaling Jaya City),” katanya dalam sidang media sejurus selepas tamat perlawanan tengah malam tadi menyaksikan Perak tumpas 2-3 kepada Melaka United.

Menurutnya, Perak berdepan terlalu banyak perlawanan termasuk pada bulan Ramadan dan ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk pemainnya.

“Sudah tentu saya kecewa, bermain di laman sendiri saya mahu menang, saya mahu mencari kemenangan kerana saingan liga sangat sengit.

“Hilang satu mata, dua mata pasukan pasti turun tangga liga dan begitulah sebaliknya jika menang,” katanya.

Sementara itu, pengendali Melaka United, Zainal Abidin pula mengucapkan tahniah kepada anak buahnya yang bertungkus lumus mencipta kemenangan walaupun ketinggalan pada awal permainan.

Menurutnya, walaupun berpuas hati dengan keputusan perlawanan, namun pihaknya mengesan beberapa kelemahan termasuk membabitkan dua pemain import baru berkenaan.

“Saat akhir kita nampak sedikit ketidakcergasan import baru, yang hilang keserasian apabila dalam tekanan, namun mereka menunjukkan disiplin bertahan sebagai satu pasukan yang baik dan itulah yang membuatkan kejayaan malam ini.

“Banyak lagi kerja perlu dibuat mungkin mereka (Angan dan Balic) baru sahaja sampai beberapa hari, sedang menyesuaikan diri, mereka pemain baru dan pertama kali bermain di Malaysia dan sedang menyesuaikan diri dengan keadaan dan juga cuaca,” katanya.

Zainal Abidin berkata, cuti panjang sempena Aidilfitri ini, pasukannya masih lagi menjalani latihan dan mereka hanya diberi cuti dua hari sebelum raya dan latihan akan disambung pada raya ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 7:14 PM