NURAMIRAH Shakirah ketika Sukan Asia 2018 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


PENYERANG hoki wanita negara, Nuramirah Syakirah Zulkifli mengakui berasa berdebar dalam penampilan sulungnya di Pusingan Akhir Siri FIH yang juga kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, pemain berusia 19 tahun ini bertekad untuk memberikan aksi terbaik dan mengharumkan nama negara walaupun bakal berdepan aksi penuh fizikal terutama dari Ireland serta Republik Czech.

“Memang rasa agak berdebar kerana ia adalah pentas kelayakan Olimpik, lagipun bukan mudah untuk berdepan pasukan kuat,” katanya.

Berdasarkan susuk tubuh yang dimiliki Nuramirah, dia dijangka tidak berdepan masalah untuk bertarung secara fizikal dengan pemain dari Eropah.

“Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik kali ini, saya akan cuba mengharumkan nama negara,” katanya yang mempunyai pakej lengkap untuk menjadi penyerang sensasi negara pada masa akan datang.

Selepas setahun bersama skuad wanita negara, aksi di Banbridge, Ireland Utara adalah pentas terbaik buatnya untuk membuktikan bahawa dia layak memikul tanggungjawab di bahagian serangan.

Nuramirah tahun lalu sudah mengutip pengalaman berharga ketika beraksi di Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Donghae, Sukan Komanwel Gold Coast serta Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Skuad negara yang kini sedang dalam program Jelajah Eropah dijadualkan bertemu pemenang tempat ketiga Piala Dunia 2018, Sepanyol di Rom, Itali lewat malam ini.

Di Banbridge nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Ireland, Republik Czech dan Singapura manakala Kumpulan B terdiri daripada Korea Selatan, Scotland, Ukraine dan Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 7:03 PM