KAPTEN Bayern, Neuer (tengah) menjulang trofi Piala Jerman selepas menewaskan RB Leipzig di Berlin, awal pagi tadi. — FOTO EPA
Reuters

JUARA Bayern Munich mengalahkan RB Leipzig 3-0 awal pagi tadi susulan dua gol Robert Lewandowski untuk memenangi Piala Jerman kali ke-19 dan melengkapkan kejuaraan berganda liga dan piala domestik.

Penjaring gol terbanyak Bundesliga, Lewandowski menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-29, mengelirukan penjaga gol Peter Gulacsi dan sentuhan menakjubkan Kingsley Coman pada minit ke-78 menjadikan kedudukan 2-0.

Lewandowski memastikan kemenangan dengan larian dan penyudah mantap pada minit ke-85.

Ia kali ke-12 Bayern memenangi kejuaraan berganda ketika jurulatih Niko Kovac, yang menjulang piala itu bersama Eintracht Frankfurt tahun lalu dan mengemudi mereka ke final 2017, muncul individu pertama memenangi kejuaraan berganda buat Bayern sebagai pemain dan jurulatih.


LEWANDOWSKI (kiri) meledak gol ketiga perlawanan di Stadium Olimpik, Berlin. — FOTO EPA

Namun Bayern turut berterima kasih kepada penjaga gol Manuel Neuer yang kembali daripada kecederaan dan melakukan dua tindakan penyelamat mendebarkan untuk mengekalkan kedudukan mereka.

“Ia lawan yang paling sukar dan kami dapat lihat dalam 30 minit pertama,” kata Kovac, masa depannya di kelab itu kelihatan lebih selamat selepas menang dua kejuaraan dalam tempoh seminggu.

“Manuel Neuer menyelamatkan kami dua kali dengan ketangkasannya tapi secara keseluruhan kami berhak menang,” katanya. “Kami berdepan saat sukar pada Oktober dan November jadi pujian terhadap pasukan. Untuk berada di sini dengan dua kejuaraan membuatkan saya berasa bangga.”

“Saya amat puas hati dengan cara kami bermain dan menang,” kata Lewandowski.


RIBERY bersama anak lelakinya Seif el Islam (kiri) mengarak trofi Piala Jerman. — FOTO EPA

“Kami menguasai perlawanan dan babak kedua kami lebih mengasak untuk menang piala ini.

“Kami memberikan segala-galanya untuk menang kejuaraan berganda. Akhirnya kami boleh katakan musim ini bagus buat kami,” ujar Lewandowski.

Pemain sayap Bayern, Franck Ribery, yang meninggalkan Munich hujung musim ini selain Arjen Robben, tampil sebagai pemain gantian lewat aksi untuk merakam rekod lapan penampilan final Piala Jerman pada perlawanan terakhirnya bersama kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 8:35 AM