KAPTEN Valencia, Dani Parejo (tengah) menjulang trofi Piala Raja Sepanyol awal pagi tadi. — FOTO Reuters
Reuters

VALENCIA mengalahkan Barcelona 2-1 untuk memenangi Piala Raja Sepanyol awal pagi tadi, menamatkan penguasaan empat tahun berturut-turut juara Sepanyol itu sekali gus menafikan mereka kejuaraan berganda domestik.

Kevin Gameiro (minit ke-21) dan Rodrigo Moreno (m-33) meledak gol babak pertama untuk membolehkan kelab kendalian Marcelino itu menguasai aksi final di Stadium Benito Villamarin, Seville.

Barcelona, pemenang dengan rekod 30 kali pertandingan itu, bergelut tanpa penyerang yang cedera Luis Suarez dan Ousmane Dembele namun Lionel Messi (m-73) membalas satu gol buat kelab Catalan itu menerusi penyudah jarak dekat.

Goncalo Guedes terlepas peluang terbuka pada masa kecederaan buat Valencia namun mereka tetap berjaya memenangi trofi utama pertama sejak memenangi piala itu pada 2008.

RODRIGO meledak gol kedua Valencia di Seville. — FOTO Reuters

“Saya terlalu gembira kerana bagi saya dan keluarga, ia menakjubkan,” kata kapten Valencia, Dani Parejo. “Kelab seperti Valencia berhak meraih lebih banyak kegembiraan sebegini. Saya tak tahu nak cakap apa, ia mengagumkan.

“Kami sudah melakar sejarah pada tahun yang amat penting, ulang tahun seabad kelab ini.”

Valencia berakhir di tangga keempat La Liga selepas babak kedua musim yang lebih mantap, layak ke separuh akhir Liga Europa dan menamatkan musim mengagumkan dengan kemenangan awal pagi tadi.

Sebaliknya, kempen Barcelona merudum sejak dua minggu lalu apabila mereka mensia-siakan kelebihan tiga gol pada separuh akhir Liga Juara-Juara menjurus kekalahan di tangan Liverpool sebelum membenarkan piala terlepas daripada genggaman mereka.

JARINGAN Messi (tengah) gagal membantu kebangkitan Barca. — FOTO Reuters

“Valencia berhak menang dan ia juga tahun yang bagus buat kami,” kata Pique.

“Sering kali tahun yang bagus apabila anda menang La Liga tapi anda seharusnya mengharungi tahun yang lebih bagus tapi ia tidak seperti yang diharapkan. Musim ini berakhir dengan perasaan pedih, kerana ia sepatutnya lebih baik lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 7:50 AM