Nur Azmi kata MAKAF akan hantar surat tunjuk sebab. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PERSEKUTUAN Karate-do Malaysia (MAKAF) enggan tunduk dengan desakan kumpulan tertentu yang mahu badan itu untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, tiada keperluan untuk mengadakan EGM ketika pihaknya sudah mendapat sokongan padu daripada ahli gabungan.

"Mereka ini pada awalnya meminta MAKAF untuk membuat EGM tetapi mereka sendiri yang tidak menghantar nama untuk pelantikan sebagai ahli majlis tertinggi.

"Kami yang berada di dalam MAKAF ketika ini dipilih secara sah pada AGM (mesyuarat agung tahunan) sebelum ini.

Jadi sepatutnya tidak timbul sebarang isu lagi," katanya selepas mesyuarat kali pertama majlis tertinggi MAKAF, hari ini.

Presiden Persatuan Karate-do Putrajaya, P Thiagu menerusi laporan sebelum ini berkata, sebanyak 12 ahli gabungan mahu mengadakan undi tidak percaya terhadap MAKAF sekaligus mahu mengadakan EGM Julai depan atas beberapa faktor.

Antara dakwaan mereka, MAKAF membenarkan ahli bukan gabungan untuk menyertai Kejohanan Kebangsaan di Serdang, Selangor, Februari lalu sehingga mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak.

Nur Azmi berkata, MAKAF akan menghantar surat tunjuk sebab kepada lima ahli gabungannya yang didapati melanggar peraturan tertentu.

Lima persatuan itu adalah Persatuan Karate Putrajaya, Perak, Pahang, Pulau Pinang serta Persekutuan Karate Goshin-Ryu yang difahamkan antara 12 ahli gabungan menentang MAKAF.

"Kami akan menghantar surat tunjuk sebab secepat mungkin dan keputusan sama ada kelima-lima persatuan itu akan digugurkan dari MAKAF akan diputuskan pada mesyuarat majlis tertinggi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 7:10 PM