Siti Fatima harap slot terakhir ke Sukan SEA. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@mediaprima.com.my


PELUANG untuk melayakkan diri ke temasya Sukan SEA Filipina dalam acara 100 meter wanita masih terbuka dengan atlet pecut negara Siti Fatima Mohamad berharap dia dapat mencuri satu slot yang masih lagi kosong.

Pulang menyertai Terbuka Thailand minggu lalu dengan catatan 11.95 saat bagaimanapun masih belum cukup memastikan tempatnya ke Sukan SEA.

Atlet kelahiran Johor itu perlu melepasi syarat kelayakan 11.76s untuk layak secara merit buat kali kelima.

Bagaimanapun Siti Fatima menegaskan dia tidak pernah berputus asa dan masih terus mencuba dan yakin mampu melepasi syarat yang ditetapkan itu.

Katanya, masih terdapat beberapa lagi kejohanan yang boleh disertai sebelum tarikh akhir kelayakan iaitu pada 2 September ini antaranya Terbuka Korea bulan depan. Begitupun pemenang rekod kebangsaan dalam acara 4x100m itu berada dalam dilema apabila dia perlu mencari dana sendiri untuk memberi tiket penerbangan jika ingin ke kejohanan itu.

Justeru dia berharap ada pihak yang sudi menaja tiket penerbangannya. "Terbuka Korea dijangka akan berlangsung pada depan. Saya harap ada pihak yang sudi menaja tiket penerbangan saya ke sana. "Urusan penginapan semua sudah diselesaikan namun masalah sekarang adalah tiket penerbangan.

"Jika diberi peluang saya yakin catatan masa itu akan dapat diperbaiki. Lebih banyak menyertai pertandingan peluang saya akan lebih terbuka," katanya yang pernah meraih pingat gangsa dalam acara 4x100m di Sukan SEA Korat 2015. Berpengalaman beraksi di empat temasya dwi tahunan sebelum ini, catatan terbaik peribadi Siti Fatima adalah 11.91s yang dicatatkan bulan lalu di Grand Prix Malaysia.

Ketika ini hanya Zaidatul Husniah Zulkifli yang melepasi syarat kelayakan dan bermakna masih ada lagi kekosongan buat atlet terbaik wanita negara yang memasang cita-cita beraksi di temasya Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 6:47 PM