Talib (kiri) sahut cabaran Ahmad pertahan pingat emas Sukan SEA di Filipina. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


KETUA jurulatih sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad menyahut seruan untuk mempertahankan emas Sukan SEA 2019 walaupun dengan kehadiran Thailand dalam acara regu.

Jelasnya, ia adalah situasi yang diperlu dihadapi anak buahnya sekiranya Thailand memilih untuk menyertai acara regu.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail ketika mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan sasaran untuk mempertahankan emas acara regu.

“PSM tidak pernah mengambil kira tentang negara lain. Apa acara mereka masuk langsung tidak memberi kebimbangan kepada kita.

Percaturan PSM apabila nak memilih acara berdasarkan prestasi barisan pemain kita.

Tetapi saya berharap mereka (Thailand) ambil bahagian dalam acara kita,” kata Ahmad.

Malaysia meraih emas pada edisi 2015 dan 2017 tanpa kehadiran Thailand yang memilih untuk menyertai acara lain sekali gus menimpulkan pelbagai perpepsi sehingga ada pihak yang menggelarkannya sebagai ‘emas pondan’.

Bagaimanapun apabila hanya empat acara dipertandingkan di Filipina, ia mencetuskan kemungkinan besar Thailand akan memilih menyertai acara regu dan berpasukan regu.

"Kita akan berjuang habis-habisan. Kita tidak boleh lari, perlu hadapi mereka. Mereka masih menggunakan pemain lama seperti Pornchai Kaokew dan Anuwat Chaichana yang kaya dari segi pengalaman.

"Namun pada masa yang sama, pemain negara juga sudah matang dan ada pengalaman. Kita pernah mencuri satu set dalam perlawanan peringkat kumpulan di Sukan Asia 2018.

Walaupun tidak menang perlawanan itu, bagi saya ia adalah tanda (kebangkitan)," kata Abdul Talib.

Selain acara regu dan berpasukan regu, Filipina turut mempertandingkan hoop dan beregu berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 6:28 PM