Selvaraj anggap Piala Sudirman langkah pertama. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


JANGAN mudah berpuas hati dengan pencapaian pada Piala Sudirman.

Itu amaran bekas pemain perseorangan negara, Datuk James Selvaraj kepada barisan pemain muda negara yang memenuhi sasaran berjaya melangkah sehingga ke suku akhir Piala Sudirman.

Jelas Selvaraj, barisan pemain muda negara perlu dikerah lagi dengan menjalani latihan lebih kerap selain beraksi cemerlang dalam setiap kejohanan disertai selepas ini.

"Piala Sudirman baru langkah pertama untuk barisan pemain muda ini.

Mereka harus terus bekerja keras untuk memastikan dapat menyaingi pemain negara lain.

"Selepas ini, barisan pemain negara perlu cemerlang dalam acara individu masing-masing. Daripada situ mereka akan menimba pengalaman cukup berharga.

"Kalau boleh wujudkan persaingan yang sengit bagi membolehkan setiap pemain merasai kedudukan mereka tidak selamat.

"Jika tiada kerja keras, saya yakin prestasi mereka akan kekal mendatar saja," katanya, hari ini.

Selvaraj turut memuji keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain muda negara pada saingan Piala Sudirman.

"Barisan pemain ini pula membalas kepercayaan BAM dengan aksi yang baik.

"Mereka inilah juga yang akan beraksi di Piala Thomas dan Uber.

Jadi bermula daripada sekarang mereka perlu membuktikan layak untuk mendapat tempat dalam acara berpasukan itu," katanya.

Malaysia tersingkir pada saingan Piala Sudirman selepas tewas 0-3 kepada Jepun di suku akhir, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 5:57 PM