Harrif tidak dapat meneruskan perlumbaan. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


HASRAT jaguh pecut Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh menaiki podium tidak kesampaian apabila ‘bungkus awal’ pada perlumbaan PRUride PH di Filipina.

Dia serta rakan sepasukannya, Nur Amirull Fakhrudin Mazuki antara 25 dari 137 pelumba yang tidak dapat meneruskan perlumbaan peringkat kedua, hari ini.

Catatan masa dilakukan Harrif pada peringkat pertama yang bermula dan berakhir di Harbor Point sejauh 130.2 kilometer melebihi tempoh yang dibenarkan pada perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia berkenaan.

"Ia sesuatu yang memang kita jangkakan kerana mereka hanya menjalani latihan pada sebelah malam pada bulan Ramadan.

Malah peringkat pertama dilihat laluan yang agak berbukit sekali gus memberikan kesukaran kepadanya.

"Ia lebih kepada perlumbaan "pemanas badan" kerana mereka akan mengharungi lebih banyak perlumbaan selepas sambutan Aidilfitri nanti di Korea, China, Jepun dan Indonesia," jelas Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus.

Sebelum ini Harrif yang masih segar dengan kejayaan memenangi satu peringkat perlumbaan di Le Tour de Langkawi (LTdL) pada bulan lalu, menyuarakan hasrat untuk meneruskan rentak positif dengan menaiki podium di Filipina.

"Mereka akan kembali ke Filipina untuk menyertai Le Tour de Filipinas yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 18 Jun nanti," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 5:32 PM