SORIANO (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Syed Saddiq.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


MINAT mendalam juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Manchester City untuk membeli sebuah pasukan Liga Malaysia kini menjadi tanda tanya apabila ada yang mengaitkannya dengan kelab Liga Super tempatan, Petaling Jaya City (PJ City).

Walaupun delegasi Manchester City diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Ferran Soriano tidak menyatakan secara tepat kelab yang dimaksudkan, namun nama PJ City FC menjadi sebutan kerana pasukan itu kini dimiliki oleh Qi Group.

QI Group adalah rakan kerjasama Manchester City dan tidak mustahil PJ City menjadi pasukan yang akan dibeli oleh antara kelab terkaya di Eropah itu.

Menurut pengurus pasukan PJ City, K Rajendran, pihaknya tidak menerima apa-apa maklumat mengenai perkara berkenaan dan ia mungkin sekadar khabar angin.

Namun, beliau juga tidak menolak kemungkinan itu memandangkan pemilik PJ City adalah rakan strategik Manchester City di negara ini.

“Saya tak boleh nak ulas lanjut kerana ia membabitkan pengurusan kelab. Tetapi setakat sekarang saya tak dengar apa-apa lagi dari pihak atasan mengenai hal ini.

“Tapi kita tak boleh nak cakap tidak juga sebab QI Group adalah rakan kerjasama Manchester City. Kalau betul ia pasti bagi kelebihan besar buat PJ City dalam kembangkan pasukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan skuad The Citizens berminat untuk membeli sebuah pasukan liga tempatan dalam masa terdekat.

Selain pembelian kelab itu, Syed Saddiq turut menyasarkan kerjasama bersama Manchester City khususnya dalam aspek pembangunan akar umbi membabitkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan juga Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang.

Jika benar kelab yang dimiliki oleh City Football Group itu membeli pasukan dari Malaysia, perkara yang harus dimanfaatkan ialah kepakaran dimiliki oleh kelab berkenaan bagi membantu meningkatkan lagi mutu bola sepak negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 7:00 AM