Pemain Terengganu, Sarin Sapien (kiri) diasak pemain Selangor, Taylor George Regan pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO NSTP/GHAZALI KORI
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


BIARPUN hanya melakar kemenangan tipis 1-0 menundukkan Selangor, skuad Terengganu FC (TFC) tetap berpuas hati mengutip tiga mata penuh pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Kapten Selangor, K Sarkunan 'menghadiahkan' gol sendiri buat skuad Penyu apabila pemain itu tertolak bola ke gawang golnya hasil hantaran lintang pemain gantian, Adib Aizuddin Ab Latif m-90.

Sepanjang 45 minit pertama, aksi kedua-dua pasukan dilihat begitu hambar tanpa sebarang percubaan menarik dan berbahaya selain bola lebih banyak berlegar di bahagian tengah.

Pengendali Selangor, B Sathianathan dan pengendali sementara TFC, Nafuzi Zain dilihat lebih banyak berdiri memberi arahan selepas anak buahnya gagal mengatur strategi lebih mujarab untuk menembusi benteng pertahanan lawan masing-masing.

Hanya dua percubaan tepat dimiliki skuad Penyu pada m-6 dan m-32 melalui pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov, namun ia langsung tidak mencemaskan pintu gol skuad The Red Giants dikawal penjaga golnya, Mohd Farizal Harun.

Terengganu sebelum ini gagal meraih kemenangan selepas tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 12:15 AM