Pique masih tidak dapat lupa kekalahan kepada Liverpool. FOTO EPA
Agensi

GERARD Pique mengakui Barcelona masih mengalami tekanan psikologi berikutan kekalahan dramatik tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) kepada Liverpool.

Gergasi Sepanyol itu dijangka mendapat laluan mudah ke final di Madrid pada 1 Jun selepas menang selesa 3-0 pada aksi separuh akhir pertama di Nou Camp.

Bagaimanapun, Pique dan rakan sepasukan mensia-siakan kelebihan mereka selepas Liverpool mempamer salah satu kebangkitan terhebat dalam bolasepak Eropah menang 4-0 dan mara ke final bertemu musuh Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham.

“Memang sukar untuk bangkit semula secara emosi kerana masih teringat dan sukar untuk kami melupakan kekalahan itu.

“Ia kejatuhan yang akan memerlukan masa panjang untuk dipulihkan,' katanya kepada El Pais .

“Apapun, kami perlu melangkah ke depan.

“Ia situasi sangat sukar. Kami tidak boleh mendera diri sendiri.

“Ya, ia salah satu kekalahan terhebat Barca. Bagaimanapun, begitulah sukan itu, ada masanya anda perlu menerima hakikat”.

“Ia igauan buruk dan anda perlu mengandaikan ia akan berlaku sekali lagi.

“Apapun, kita perlu faham mengapa ia berlaku dan membantu kami pada masa depan kerana kami mahu bangkit semula mencabar UCL.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 11:10 PM