SERBEGETH
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Jika mahu mengikut corak pembangunan bolasepak Qatar, mungkin kita akan mundur malah sekiranya program naturalisasi turut digunapakai kemungkinan pemain daripada kalangan anak jati akan lenyap,”

Itu antara pandangan pengkritik bola sepak negara Serbegeth Singh yang melihat usaha sama dengan akademi sukan serba canggih dan cukup terkenal di dunia, Akademi Aspire yang berpusat di Qatar, dilihat bukanlah antara insiatif terbaik bagi meningkatkan kualiti bola sepak negara.

Beliau berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melakukan kajian secara terperinci membabitkan akademi berkenaan yang dilihat memerlukan perbelanjaan tinggi selain bukanlah dilihat baik untuk perancangan jangka panjang.

Walaupun, Qatar memenangi Kejuaraan B-19 AFC 2014 dan layak ke Piala Dunia B-20 2015 selain muncul juara Piala Asia namun kejayaan itu bukanlah hasil usaha daripada pemain yang terdiri daripada kalangan warga tempatan.

“FAM perlu lebih buka mata dan jangan menggunakan pendekatan mengambil pemain naturalisasi untuk mewakili Malaysia dapat menyelesaikan masalah kualiti bolasepak kita yang semakin mundur.

“Lebih daripada separuh kesebelasan utama Qatar adalah pemain naturalisasi manakala mereka berhabis puluhan jutaan ringgit untuk menampung kos operasi akademi Aspire.

“Apa akan jadi pada masa akan datang apabila terlampau bergantung kepada pemain naturalisasi dan pasti kita akan kehilangan pemain tempatan seterusnya keadaan bertambah buruk tiada lagi sebarang kejayaan dapat dicapai menerusi bola sepak,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum itu, FAM membuka dimensi baharu apabila mengadakan lawatan ke akademi sukan serba canggih dan cukup terkenal di dunia, Akademi Aspire bagi menjalin kerjasama erat dengan akademi terbabit.

Akademi berkenaan ditubuhkan pada 2004 untuk mencari dan membangunkan atlet muda terbaik Qatar dengan program bola sepaknya membawa negara itu memenangi Kejuaraan B-19 AFC 2014 dan layak ke Piala Dunia B-20 2015.

Malah, paling mengejutkan kejayaan Qatar menjulang Piala Asia buat pertama kali dalam sejarah selepas menewaskan Jepun 3-1 dalam aksi final, sekaligus membuktikan bahawa sistem pembangunan di negara itu cukup baik.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mahu Malaysia mencontohi Qatar dalam membangunkan bola sepak sehingga menjadi juara Asia.

Formula terbabit dilihat seperti jawapan terbaik kepada bola sepak negara yang tidak pernah memenangi kejohanan utama di peringkat Asia.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat di peringkat rantau Asia ialah gangsa di Sukan Asia 1974 yang diadakan di Tehran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 8:00 AM