AKSI Fakri (kanan) ketika beraksi bersama Melaka United musim lalu.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

"ALHAMDULILLAH, kemasukan Fakri (Ahmad Fakri Saarani) akan membantu jentera serangan pasukan ketika ramai pemain cedera," kata ketua pasukan Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin.

Menurutnya, bekas rakan sepasukan dalam skuad Kelantan itu disifatkan seorang penyerang yang rajin mencari peluang menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

"Fakri ada potensi mencetak gol jika mendapat gandingan yang baik. Dia sentiasa bekerja keras," katanya dihubungi hari ini.

Skuad The City Boys semalam secara rasmi menerusi Twitter Kuala Lumpur FA Official@kualalumpurfa dan Facebook Kuala Lumpur Hawks, mengumumkan menandatangani bekas pemain Melaka United, Ahmad Fakri pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2019.

Menurut Indra Putra, biarpun Kuala Lumpur tercicir dari saingan Piala FA dan kini di tangga kedua tercorot liga, dia berharap ia tidak melemahkan semangat pasukan untuk mengharungi baki Liga Super 2019.

"Saya berharap rakan sepasukan tidak putus asa dan yakin dengan kemampuan kita. Kita perlu berusaha lebih kuat dan mengelak berada di zon penyingkiran," katanya yang mencetak gol ke-100 peribadi akhir bulan lalu.

Sementara itu, menjelang pertemuan dengan PKNP FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada 26 Mei ini, Indra Putra mahu ia tidak disia-siakan rakan sepasukan.

"Kami perlu memanfaatkan bermain di laman sendiri untuk kutip tiga mata," katanya.

Tewas kepada PJ City minggu lalu, anak buah Chong Yee Fatt mengumpul 11 mata hasil tiga kemenangan, sembilan kekalahan dan dua keputusan seri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 11:02 PM