SYED Saddiq dan Ketua Pegawai Eksekutif Manchester City, Ferran Soriano bergambar bersama Piala Liga Perdana Inggeris (EPL) di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. - FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman percaya kemasukan falsafah bola sepak Inggeris ke dalam sistem pembangunan tidak akan merencatkan hala tuju bola sepak negara.

Jelasnya, biarpun dua badan utama iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah menjalinkan kerjasama erat bersama Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) dan La Liga di Sepanyol, ia tidak akan mengganggu pelan pembangunan yang dirancang ketika ini.

"Tidak (percampuran tiga falsafah bola sepak Inggeris, Jepun dan Sepanyol), kerana kerjasama dengan JFA ada beberapa perspektif saya rasa kita akan memuktamadkan dalam tempoh terdekat khususnya diterajui Presiden Datuk Hamidin Mohd Amin di mana beliau sudah melakukan tugasnya dengan baik.

"Sebagai contoh prospek beberapa pemain kita sudah ada di kelab di sana (Jepun) dan kita cuba nak tambah serta pada masa sama juga membabitkan pertukaran kepakaran jurulatih.

"Ketika saya berjumpa Presiden JFA, katanya sebelum 1980 Jepun banyak belajar daripada kita dan sekarang mereka mahu membantu kita pula.

"Saya rasa ada beberapa perkara yang boleh dilihat tapi rasanya ia tidak bertindih (campuran tiga falsafah) kerana kita saling melengkapi," katanya pada sidang media sejurus mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Manchester City di sini hari ini.

Syed Saddiq juga berkata, hasil daripada mesyuarat itu menyaksikan kemungkinan wujudnya jalinan kerjasama untuk City membangunkan bola sepak di sini termasuk menjadikan sebuah kelab di Malaysia sebagai kelab sokongan.

"Manchester City mempunyai tujuh kelab sokongan di serata dunia. Saya harap menerusi kerjasama ini akan adanya sebuah kelab City dapat berpangkalan di negara ini bagi meningkatkan lagi mutu pemain kita. Namun ia (perbincangan) masih di peringkat awal dan akan dimuktamadkan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 10:52 PM