AKHYAR kini beraksi bersama JDT.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) hari ini menyerahkan bukti dan fakta isu perpindahan pemain, Akhyar Rashid menerusi ‘pintu belakang’ ke Johor Darul Ta’zim kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia bagi membolehkan jawatankuasa itu mempertimbangkan sewajarnya aduan isu berkenaan yang dibuat sebelum ini dan merumuskan keputusan yang adil.

Dalam kenyataannya, KFA memaklumkan delegasinya bersama pasukan peguam hadir di Wisma FAM untuk mesyuarat Jawatankuasa Status FAM yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Joehari Ayob.

"Aduan kes berkenaan ‘tapping up’ membabitkan bekas pemain muda skuad Hijau Kuning ketika masih sah berkontrak bersama KFA mendapat perhatian FAM dan pihak pengadu, KFA dan responden, kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim dipanggil untuk membantu jawatankuasa dalam mendengar penjelasan kedua-dua pihak.

"Langkah ini wajar untuk memastikan semua ruang untuk menuntut hak sebagai majikan iaitu KFA di peringkat tempatan diambil sebelum membawa kes ini ke peringkat lebih tinggi iaitu Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asian (AIAC) atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS)," katanya.

Menurut kenyataan itu, Naib Presiden 1 KFA, Anas Hafiz Mustaffa dan Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Samsudin turut hadir, manakala responden tidak menghantar wakil.

"Walaupun menunggu berbulan-bulan selepas membuat laporan, menerima pelbagai reaksi daripada pihak berkaitan terutamanya peminat bola sepak di Kedah dan Malaysia amnya, KFA tidak pernah culas dalam menegakkan kebenaran seperti yang diperjuangkan selama ini," katanya lagi.

Akhbar ini melaporkan pada 3 Januari lalu, KFA melancarkan Tabung CAS KFA dalam usaha menampung kos tinggi membawa kes Akhyar ke CAS di Lausanne, Switzerland. Tabung itu diwujudkan bagi mengumpul sumbangan orang ramai susulan rayuan mereka mengenai isu Akhyar ditolak oleh FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 10:18 PM