HAFIZH kutip dua mata di Perancis minggu lalu.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

KEJAYAAN pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengutip dua mata pertama pada Grand Prix (GP) Perancis minggu lalu kembali meletakkan kepercayaan pengurusan Red Bull KTM Tech 3 terhadapnya.

Pengurus pasukan, Herve Poncharal mengakui gembira dengan prestasi Hafizh yang sebelum ini sering dibayangi rakan sepasukan, Miguel Oliveira.

"Saya rasa ia saat cukup penting untuk Hafizh apabila dapat menamatkan perlumbaan kali pertama di depan Oliveira dan mengutip mata buat kali pertama musim ini.

"Kami sedar betapa pentingnya untuk tidak menamatkan saingan di kedudukan terakhir dan dapat bersaing dengan barisan pelumba lain.

"Sebab itu kami sangat berpuas hati dengan prestasi Hafizh," katanya.

Jelas Poncharal, kesemua pelumba termasuk Hafizh harus terus bekerja keras bagi memastikan jentera KTM dapat bersaing di kelompok depan.

"Saya percaya ia akan berlaku tidak lama lagi," katanya. Poncharal sebelum ini secara terbuka meluahkan rasa kecewa dengan prestasi Hafizh yang sering menamatkan perlumbaan di kedudukan paling belakang.

Beliau bagaimanapun berkata akan sentiasa cuba membantu Hafizh menyesuaikan diri dengan jentera KTM dengan cepat. Saingan MotoGP seterusnya akan berlangsung 2 Jun ini di Mugello, Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 9:58 PM