CHOW Mei Kuan-Lee Meng Yean meraikan kejayaan menewaskan beregu India, Ashwini Ponappa-Reddy Sikki pada aksi peringkat kumpulan Piala Sudirman. - FOTO FB BAM
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

PERLU hormati Jepun tapi jangan takut berdepan mereka, ujar Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menjelang aksi sukur akhir Piala Sudirman esok.

Menurutnya, perbezaan antara Malaysia dan Jepun memang bagaikan langit dengan bumi namun pemain harus berani untuk menghadapi siapa saja apabila sudah tiba ke peringkat kalah mati.

"Rasa hormat perlu ada, tapi jangan sesekali takut dengan mereka. Berani hadapi siapa saja," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujar bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, Jepun dengan India memang jauh beza dan pasukan diketuai pemain nombor satu dunia, Kento Momota dianggap sama taraf dengan China.

"Jepun dan China berada di liga tersendiri namun pemain kita berada pada tahap terbaik untuk berdepan mereka esok. Mereka akan cuba mengambil platform ini untuk memberikan aksi terbaik.

"Kebanyakan pemain sudah mempamerkan keupayaan mereka sendiri di sini. Bagaimanapun, saya tidak mahu mereka sekadar sampai pada tahap mencukupi tapi lebih dari itu atau lakarkan kejutan," kata Choong Hann.

Ditanya adakah pertemuan dengan Jepun ibarat berdepan 'negara sendiri' selepas kehadiran beberapa bekas jurulatih negara di negara 'Matahari Terbit' itu, beliau berkata tidak ada bezanya siapa berada di belakang pemain.

"Siapa duduk di kerusi jurulatih tidak perlu dititiberatkan, ini kerana lawan mereka sekarang adalah pemain Jepun. Jurulatih hanya memberikan dari segi taktikal dan corak latihan," katanya.

Selain Momota, Jepun dijangka mempertaruhkan pemain perseorangan wanita nombor dua dunia, Nozomi Okuhara, manakala Keigo Sonoda-Takeshi Kamura (ranking ketiga dunia) sudah pasti akan menyekat keupayaan beregu lekai negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Mereka juga mempunyai pilihan sama ada ingin menurukan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio bagi beregu wanita, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi ataupun gandingan nombor satu dunia, Sayaka Hirota-Yuki Fukushima.

Aksi Malaysia menentang Jepun akan berlangsung pada 11 pagi esok di Pusat Sukan Guangxi, Nanning. Jika berjaya mengejutkan Jepun menanti Malaysia di separuh akhir ialah pemenang di antara Indonesia dan Taiwan.

Dua tahun lalu di Gold Coast, Jepun menyekat hajat Malaysia untuk ke separuh akhir apabila mereka mencatat kemenangan 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 9:53 PM