Hamilton mencatat masa terpantas sesi latihan pertama. FOTO REUTERS
Reuters

JUARA dunia Formula Satu (F1), Lewis Hamilton mengetuai penguasaan Mercedes pada sesi latihan pertama, hari ini menjelang Grand Prix Monaco.

Pemandu Britain itu yang tidak memberi sebarang komen kepada media berikutan kematian pengerusi bukan eksekutif Mercedes dan bekas juara dunia tiga kali, Niki Lauda, membuat pusingan terpantas di sirkit laluan jalan raya itu merakam masa satu minit 12.106 saat.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen mencatat masa kedua terpantas, hanya 0.059s di belakang Hamilton dengan Valtteri Bottas yang memandu satu lagi Mercedes, ketiga terpantas.

Charles Leclerc yang berharap menjadi pemandu Monegasque (Monaco) pertama menang beraksi di tempat sendiri sejak Louis Chiron pada 1950, keempat terpantas untuk Ferrari manakala rakan sepasukan yang juga juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, kelima.

Hamilton mendahului Bottas dalam kedudukan kejuaraan dengan kelebihan tujuh mata dengan pemandu Mercedes memenangi lima perlumbaan pertama menerusi penamat cemerlang 1-2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 9:23 PM