RAIKKONEN kini bersama Alfa Romeo. — FOTO Agensi
Reuters

KIMI Raikkonen menghadiri perlumbaan Grand Prix Formula Satu ke-300 di Monaco hujung minggu ini dan juara dunia 2007 itu tidak begitu mengendahkan mengenai pencapaiannya.

Malah pemandu dari Finland itu memberitahu wartawan semalam dia tidak mahu sebarang sambutan meraikan pencapaian itu.

“Saya cuba memaksa mereka membatalkan segala-galanya, tapi saya tidak berjaya setakat ini,” kata pemandu Alfa Romeo itu, yang menyertai pasukan itu dari Ferrari hujung tahun lalu.

“Tiada bezanya berbanding minggu lalu atau perlumbaan berikutnya. Akhirnya ia sekadar satu angka. Sudah pasti ia berbeza daripada perlumbaan pertama tapi selepas itu, ia tidak banyak mengubah keadaan.”

Pasukannya menghantar previu perlumbaan menerusi e-mel dengan gambar Raikkonen memakai baju pahlawan Spartan daripada filem ‘300’ pada 2006 dengan angka ditulis menggunakan warna darah.

“Setiap orang bercakap mengenai perlumbaan ke-300 saya, tapi saya lebih berminat dengan persembahan kami,” kata pemandu berusia 39 tahun itu.

Sejak penampilan sulungnya bersama Sauber (kini Alfa Romeo) di Australia pada 2001, pemandu dari Finland itu menang 21 perlumbaan Grand Prix namun pernah berehat dua tahun untuk berlumba rali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 1:14 PM