BERDYCH belum pulih daripada kecederaan belakang. — FOTO Agensi
AFP

TOMAS Berdych yang pernah layak ke separuh akhir Terbuka Perancis menegaskan dia menarik diri daripada kejohanan tahun ini selepas gagal pulih tepat pada masanya daripada kecederaan.

Masalah belakang yang berulang memaksa Berdych berehat bagi separuh kedua saingan 2018 dan bekas pemain nombor empat dunia dari Republik Czech itu hanya beraksi sekali sejak Februari lalu.

“Saya tidak bersedia 100 peratus bermain dengan cara yang saya mahukan dan perlu lebih kompetitif di gelanggang,” tulis Berdych dalam Twitter. Dia layak ke separuh akhir di Roland Garros pada 2010.

“Saya hadir ke Paris dan terpaksa membuat satu keputusan sukar kerana saya perlukan beberapa hari lagi untuk pulih sepenuhnya dan bersedia bagi musim gelanggang rumput.

“Saya terlalu sukakan kejohanan ini tapi saya juga perlu memastikan tidak mengalami kecederaan lanjut,” katanya.

Berdych, 33, merudum ke tangga ke-100 dalam ranking sesudah tidak beraksi sepanjang musim gelanggang tanah liat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 12:50 PM