NICOL (tengah) bersama ibu dan bapanya.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: “Saya mahu menggalakkan lebih ramai wanita terbabit dalam sukan. Saya akan memberikan motivasi kepada semua orang menerusi forum, penulisan dan sebagainya,” kata legenda skuasy dunia, Datuk Nicol David.

Dia mengakui teruja untuk meneruskan perjuangannya menerusi ‘pentas’ berbeza apabila secara rasmi bersara selepas tersingkir di Terbuka British, malam kelmarin.

Pada peringkat dunia, atlet berusia 36 tahun berkenaan akan bekerjasama rapat dengan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dalam mengembangkan lagi jelajah berkenaan secara keseluruhan.

Namun dalam konteks Malaysia, Nicol akan terus memberikan inspirasi, sokongan dan motivasi terutama kepada golongan wanita menerusi Yayasan Nicol David.

“Terlalu banyak perkara yang saya mahu lakukan...saya amat teruja dan tidak sabar untuk mengharunginya,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Anak didik Liz Irving yang kini di kedudukan ke-18 dunia mengumumkan persaraannya pada Februari lalu selepas 21 tahun menyumbang kepada skuasy dengan aksi terakhirnya di Terbuka British.

“Kejohanan ini memberikan kepercayaan kepada saya mengenai kemampuan untuk menjadi salah seorang pemain terbaik dan memberikan keyakinan untuk meraih juara dunia buat kali pertama serta mencapai kedudukan nombor satu dunia,” katanya.

Nicol mulai memenangi Terbuka British buat kali pertama pada 2005, tahun sama dia meraih gelaran juara dunia.

Kariernya terus berkembang dengan pelbagai gelaran dan pencapaian diraih sehingga bergelar pemain nombor satu dunia selama 109 bulan bermula 2006 hingga 2015.

Atlet negara berusia 36 tahun berkenaan diundi PSA sebagai pemain wanita terbaik sepanjang zaman dengan meraih 81 gelaran selepas mengharungi 102 final.

Bagaimanapun, juara dunia lapan kali itu mengakui mengharungi detik sukar dengan menyifatkan kekalahan kepada Annie Au (Hong Kong) di pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 2017 memberikan kejutan dalam kariernya.

“Saya lihat ia adalah kekalahan yang besar, saya seolah-olah hilang tujuan pada kejohanan. Ia memberikan ‘pukulan’ yang amat kuat kepada saya.

“Jadi saya perlu tahu apa nak buat dengan skuasy selepas lebih 20 tahun...saya berfikir untuk memberikan diri sendiri tempoh lima tahun lagi namun saya perlu jujur dengan diri sendiri. Saya hanya mampu untuk memberikan secara maksimum untuk tempoh dua tahun saja.

“Saya tidak pernah jangka akan berada sehingga tahap ini, dunia memandang saya...ramai kanak-kanak di Malaysia dan dunia mendapat inspirasi daripada saya. Saya lakukannya kerana cinta kepada sukan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 8:00 AM