ING Yueh raih pingat perak acara senaman lantai.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

ATLET gimnastik negara, Tan Ing Yueh terus cemerlang apabila merangkul pingat perak dalam acara senaman lantai di Kejohanan Piala Cabaran Dunia (WCC) 2019 di Zhaoqing, China, hari ini.

Pingat itu kedua dimenanginya di kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Zhaoqing dan disertai lebih 50 atlet gimnastik dari 11 negara.

Menurut laman Facebook Malaysia-sport, pingat emas acara itu dimenangi atlet China, Liu Jingxing manakala gangsa milik peserta Korea Selatan, Eom Do-Hyun.

Semalam, atlet berusia 23 tahun itu meraih pingat gangsa dalam acara melombol berlangsung di Kompleks Sukan Zhaoqing dengan mengumpul 12.625 mata.

Selepas China, pertandingan akan berlangsung di Osijek, Croatia dari 23 hingga 26 Mei; Koper, Slovakia (30 Mei-2 Jun); Mersin, Turki (30 Ogos-1 September), sebelum berakhir dengan tiga peringkat pada September di Szombathely, Hungary (6-8 September); Paris, Perancis (14-15 September) dan Guimaraes, Portugal dari 19-22 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 8:28 PM