AKSI Forkey Doe (kiri) ketika beraksi bersama Pahang musim lalu.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

KEMUNCULAN dua pemain import menjalani latihan menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat bola sepak Pahang. 

Mereka ialah pemain dari Liberia yang juga bekas pemain Tok Gajah musim lalu, Forkey Doe dan Lazarus Kaimbi dari Namibia yang pernah menyarung jersi skuad Kelantan musim lalu.  Kehadiran dua penyerang import itu menimbulkan spekulasi skuad kendalian Dollah Salleh bakal melakukan rombakan terutama di bahagian serangan. 

Difahamkan, keputusan menukar pemain perlu dilakukan selepas prestasi tidak konsisten dalam saingan Liga Super terutama ketumpulan jentera serangan. 

Justeru, peminat kini menunggu pemain import yang bakal digugurkan dalam usaha memperkasakan kembali skuad Tok Gajah. 

Musim ini, Pahang menyenaraikan lima pemain import iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria, Jose Eduardo atau Ze Love (Brazil), Horelof Goulon (Perancis), Safuwan Baharudin (Singapura) dan Saddil Ramdani (Indonesia). 

Menurut sumber, kehadiran dua pemain itu ketika sesi latihan lebih kepada mencuba nasib sama ada skuad Tok Gajah ingin mendapatkan khidmat mereka pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M). 

"Setakat ini, tiada keputusan rasmi untuk menukar pemain terutama penyerang selepas keputusan kurang memuaskan dalam saingan Liga Super.  "Segalanya terpulang kepada keputusan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) untuk menukar pemain import atau mengekalkan pemain sedia ada. 

"Namun, berdasarkan prestasi dan masalah ketumpulan di bahagian serangan, tidak mustahil Pahang akan mendapat penyerang baru," kata sumber itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 5:39 PM