ALMARHUM Sultan Ahmad Shah ketika menghadiri Mesyuarat Kongres Tahunan ke-48 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 7 Julai 2012.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

ARENA bola sepak negara kehilangan pejuang sejati apabila Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.

Almarhum yang menyandang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 12 Ogos 1984 hingga 2014 adalah presiden paling lama berkhidmat dan pemergian baginda meninggalkan impak cukup besar kepada dunia bola sepak Malaysia.

FAM yang kini diterajui Datuk Hamidin Mohd Amin menzahirkan rasa sedih di atas pemergian Almarhum yang banyak mengubah dan melakukan revolusi kepada perkembangan bola sepak tanahair.

"Di bawah teraju Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, pertandingan bola sepak tempatan melalui satu evolusi pesat, bermula dengan liga semi-pro yang diperkenalkan pada 1989 sebelum menjadi profesional pada 1996 dan ditransformasikan kepada Liga Super pada 2004.

"Dalam tempoh tiga dekad itu juga, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menjadi saksi kepada beberapa kejayaan skuad negara, termasuk pingat emas Sukan SEA 1989, Pestabola Merdeka 1993, emas Sukan SEA 2009 dan 2011, serta kemenangan Piala Suzuki AFF pada 2010.

"Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah juga memastikan Malaysia disegani di mata dunia dengan mendapat penghormatan menjadi tuan rumah Piala Dunia Belia FIFA pada 1997," katanya menerusi satu kenyataan media di laman Facebook badan induk itu hari ini.

Kepimpinan dan ketokohan baginda sepanjang memegang jawatan Presiden FAM, menyaksikan Almarhum turut dilantik mengetuai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

Kejayaan terbesar ketika memimpin AFC, sudah tentunya ketika Asia menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA di Jepun dan Korea Selatan pada 2002 yang menjadi sejarah kerana buat julung kalinya penganjuran kejohanan bola sepak nombor satu itu dilakukan secara bersama oleh dua negara.

Malah, sepanjang tempoh berkenaan, baginda sering memperjuangkan hak pasukan dari benua Asia dalam mendapatkan slot tambahan di Piala Dunia dan memajukan bola sepak di negara membangun.

"Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menerajui AFC dari 1994 hingga 2002 dan antara tokoh yang menuntut penambahan kuota untuk benua Asia dalam saingan Piala Dunia FIFA pada 2002, susulan krisis pada 1999 apabila delegasi AFC memulau mesyuarat Kongres FIFA di Los Angeles.

"Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah juga menjadi Presiden AFF) dari 2011 hingga 2019, dengan kejayaan menjadikan Piala Suzuki AFF sebagai aset terbesar persekutuan itu. "Bagaimanapun, Almarhum tidak dicalonkan semula pada Kongres AFF di Siem Reap Mac lalu disebabkan kesihatan baginda yang tidak mengizinkan".

  • Lagi berita berkaitan Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 4:36 PM