GELAGAT Firmino ketika tiba di kem latihan Marbella. - FOTO Agensi
Reuters

PENYERANG Liverpool, Roberto Firmino kembali menjalani latihan penuh menjelang aksi final Liga Juara-Juara menentang Tottenham Hotspur, minggu depan.

Firmino mengambil bahagian dalam sesi latihan pertama kendalian Juergen Klopp di kem latihan Marbella selepas terlepas tiga perlawanan akibat kecederaan otot.

Aksi terakhir penyerang Brazil berusia 27 tahun itu ialah ketika masuk sebagai pemain gantian ketika tewas 0-3 kepada Barcelona dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara pada 1 Mei lalu.

Dia tidak beraksi ketika Liverpool mencipta kebangkitan sensasi di Anfield dalam aksi separuh akhir kedua dan mara ke final Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut.

Firmino yang menjaringkan 16 gol dalam 47 penampilan bersama Liverpool musim ini berharap dapat memulihkan kecergasan menjelang pertembungan final di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid pada 1 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 11:28 PM