PASUKAN Kelantan menduduki tempat terakhir Liga Perdana musim ini.
BERNAMA

PERSATUAN Bola Sepak Jajahan (PBJ) tidak akan memilih ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz sebagai calon presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sekiranya Presiden KAFA ketika ini Bibi Ramjani Ilias Khan melepaskan jawatan terbabit.

Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohamad berkata, walaupun ahli perniagaan terbabit mempunyai hasrat menjadi presiden namun Amril Amin belum berjumpa dengan PBJ-PBJ untuk berbincang.

"Dia bukan calon dari PBJ , dia hanya menawarkan diri menggantikan Bibi Ramjani. Kami ahli gabungan KAFA tidak akan melantik dia sebagai calon presiden.

"Kami sudah mempunyai calon sesuai, perbincangan dengan individu itu sudah berlangsung dan dia menunjukkan respon positif untuk terbabit dalam memulihkan imej bola sepak Kelantan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, ahli perniagaan itu menawarkan diri untuk mengambil alih tampuk kepimpinan KAFA daripada presiden sekarang, Bibi Ramjani.

Kamarudin berkata, beliau yakin individu terbabit yang akan diangkat oleh PBJ mampu kembalikan semula pasukan Kelantan seperti sebelum ini.

"Individu itu mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan sukan sebelum ini walaupun bukan sukan bola sepak.

"Semua PBJ sudah sedia dan surat kita akan mengahantar kepada KAFA seminggu selepas raya iaitu tujuh PBJ yang mendesak Bibi Ramjani letak jawatan akan menyerahkan surat terbabit secara serentak di pejabata KAFA," katanya.

Di bawah kepemimpinan Bibi Ramjani, Kelantan tidak menunjukkan banyak kejayaan sebaliknya dilanda pelbagai isu terutama tunggakan gaji sehingga pasukan itu terpaksa turun dari Liga Super dan bermain di Liga Perdana musim ini.

Bibi Ramjani menerima desakan hebat daripada PBJ, kelab penyokong dan bekas pemain untuk melepaskan jawatan itu apabila Kelantan berada di kedudukan tercorot saingan liga musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:36 PM