Jun Hoong kian pulih daripada kecederaan. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@mediaprima.com.my


KECEDERAAN dialami oleh ratu terjun negara yang juga juara dunia, Cheong Jun Hoong semakin pulih dengan atlet itu kini mula menjalani latihan ringan.

Biarpun begitu Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) tidak mahu mengambil sebarang risiko kerana Jun Hoong adalah pertaruhan terbaik skuad terjun negara ke temasya Olimpik Tokyo tahun depan.

Setiausaha Agung ASUM, Mae Chen bagaimanapun berkata, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan Jun Hoong dan atlet itu dijangka akan kembali beraksi hujung tahun ini bagi menilai tahap prestasi sebelum menyertai aksi kelayakan ke Tokyo.

Katanya, terdapat tiga pertandingan yang menawarkan aksi kelayakan ke Olimpik Tokyo yang mana ia bermula di Kejohanan Dunia di Korea Julai ini diikuti Kejohanan Asia di Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 September selain Piala Dunia di Tokyo pada April tahun depan.

"Jun Hoong mungkin akan terlepas Kejohanan Dunia dan Asia namun ASUM akan pastikan dia akan menyertai Piala Dunia.

"Sebelum itu, dia mungkin akan menyertai siri Grand Prix sama ada di Singapura, Australia atau di Malaysia bagi melihat tahap kemampuannya sebelum ke Piala Dunia di Tokyo," katanya.

Jun Hoong meraih pingat emas acara 10m platform di Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary pada Julai 2017 terpaksa berehat panjang akibat kecederaan lutut tahun lalu.

Kecederaan yang dialaminya itu turut menyaksikan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terlepas peluang untuk menyertai Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun lalu.

Bagaimanapun dia yang meraih emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dilihat mula menjalani latihan ringan dan dijangka berlatih di bawah kendalian jurulatih baharu dari China, Li Rui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 2:32 PM