NOOR Amarina (kanan) mahu bantu Malaysian Tigress muncul dua pasukan terbaik di Banbridge, Ireland.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

KAPTEN skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani mahu melengkapkan karier panjangnya bersama Malaysian Tigers dengan cuba membantu pasukan muncul dua pasukan terbaik pada Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland sekaligus layak ke aksi play off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jelas Noor Amarina, saingan di Banbridge, Jun depan dilihat kemuncak kepada kariernya yang sudah menyarung jersi skuad negara selama 14 tahun sejak 2005.

"Untuk layak ke Sukan Olimpik mungkin sukar tetapi sasaran utama saya adalah membantu pasukan layak ke kempen kelayakan terlebih dulu.

"Kalau berjaya, ia sudah cukup bermakna untuk saya. Sebab itu saya berharap kami dapat memenuhi misi sebagai dua pasukan terbaik di Ireland.

"Di atas kertas segala-galanya memang agak sukar untuk kami. Tetapi kami tidak mahu terlalu memikirkan soal status atau ranking lawan," katanya.

Jelas pemain pertahanan berusia 32 tahun itu, dia masih belum memikirkan mengenai perjalanan kariernya sekiranya skuad negara gagal memenuhi sasaran di Ireland.

"Kalau ikutkan saya sudah penat. Tetapi saya belum fikirkan apakah keputusan yang dilakukan selepas itu," katanya.

Malaysian Tigress tiada pilihan lain selain perlu beraksi di pentas final sekiranya mahu layak ke kempen kelayakan Sukan Olimpik.

Skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Ireland selaku tuan rumah yang menduduki ranking ke-8, Republik Czech (19) dan Singapura (35).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 8:32 PM