AKSI Lai Pei Jing (kiri) and Tan Kian Meng ketika menentang pasangan China dalam acara beregu campuran di Nanning. - FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

JIKA tidak mahu peristiwa 1999, 2007 dan 2013 berulang Malaysia tidak ada pilihan lain iaitu menumpaskan India esok bagi mencerahkan peluang layak ke suku akhir Piala Sudirman yang berlangsung di Nanning, China.

Selepas tersungkur di tangan tuan rumah 0-5 kelmarin, skuad badminton negara harus menjinakkan India untuk aksi terakhir peringkat Kumpulan 1D. Jika tidak mereka akan pulang awal.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann sudah bersedia untuk memberikan tentangan habis-habisan.

"Selepas tumpas kepada China, pemain terus bersedia untuk aksi menentang India. Mereka tahu tanggungjawab masing-masing dan terus fokus. Tumpuan sekarang ini hanya kepada permainan dan latihan sendiri," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Choong Hann juga mengakui bahawa pemain tidak berasa terlalu kecewa selepas pertemuan dengan China.

"Saya mahu pemain mengatasi perasaan kecewa atau sedih, kerana kawalan emosi sangat penting menjelang perlawanan esok (hari ini). Semalam (kelmarin) mereks sudah belajar sesuatu.

"Sekarang adalah masanya untuk memberikan aksi paling baik dalam pertemuan menentang India. Saya rasa kedua-dua pasukan sudah bersedia tapi nasihat saya kepada pemain ialah tunjukkan kita paling ketara dari segi persediaan untuk aksi esok," katanya.

Aksi Malaysia dan India akan berlangsung pada jam 11 pagi di Pusat Sukan Guangxi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 6:30 PM