PEMAIN Pahang, Jose Eduardo (kiri) dilayangkan kad kuning oleh pengadil ketika menentang Perak di Stadium Darul Makmur.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

KETIADAAN penyerang import, Dickson Nwakaeme menjejaskan rentak permainan skuad Pahang selepas sekadar seri 0-0 berdepan Perak di gelanggang sendiri, semalam.

Ia diakui pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh yang terasa kehilangan khidmat penyerang Nigeria itu yang masih belum pulih daripada kecederaan.

"Tidak nafikan kami mengharapkan Nwakaeme dalam pasukan, tetapi saya sudah mengingatkan kepada semua pemain bahawa mereka perlu bermain dengan lebih baik biarpun tanpa pemain itu.

"Dalam sebuah pasukan, kami tidak boleh mengharapkan seorang pemain sahaja, malah persefahaman daripada barisan kesebelasan pemain lebih penting," katanya.

Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, beliau turut melakukan pertukaran posisi Mohamadou Sumareh bagi menajamkan jentera serangan, namun ia tidak banyak membantu dan ditambah pula dengan jentera pertahanan Perak beraksi dengan baik.

"Keputusan seri ini memanglah mengecewakan kerana kami adalah tuan rumah tapi inilah bola sepak, walaupun kita sudah memberikan yang terbaik, tapi kalau sudah nak seri atau kalah, kita kena terima," katanya.

Selepas 14 perlawanan, Pahang kekal di tangga kedua Liga Super dengan mengutip 26 mata, ketinggalan 10 mata di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 6:06 PM