Hafiz raih dua mata di Perancis. FOTO MDP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui dua mata pertama diperolehinya pada Grand Prix Perancis cukup bermakna untuknya.

Jelas pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu, kepercayaan yang sentiasa diberikan oleh pasukan termasuk ketika melalui detik sukar sebelum ini akhirnya membuahkan hasil.

"Ia adalah perlumbaan di tempat sendiri untuk pasukan dan saya sendiri tidak pernah mengenal erti putus asa.

"Terima kasih kepada pasukan yang sentiasa percaya kepada saya dan tidak pernah berputus asa membantu saya dan memperbaiki prestasi jentera," katanya.

Mengulas perlumbaan semalam, Hafizh mengakui berasa lebih selesa terutamanya apabila dapat bersaing dengan rakan sepasukan, Miguel Oliveira yang sebelum ini sentiasa membayangi dirinya.

"Pada mulanya agak sukar untuk mendapatkan kepantasan jentera tetapi memasuki pusingan pertama saya sudah mendapat rentak.

"Saya cuba bersaing dengan Oliveira tetapi akhirnya dia melakukan kesilapan dan saya menamatkan saingan di kedudukan ke-14.

"Dua mata ini amat bermakna untuk saya dan kejayaan ini juga hasil sokongan keluarga, orang sekeliling serta penyokong setia saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 4:36 PM