KOMPANY akan kembali ke kelab asalnya Anderlecht sebagai pemain-pengurus. — FOTO Reuters
Reuters

ANDERLECHT terlepas aksi kelayakan ke Eropah buat kali pertama dalam tempoh 56 tahun awal pagi tadi, memberi tamparan buat Vincent Kompany yang akan mengambil alih sebagai pemain-pengurus musim depan selepas meninggalkan pemenang tiga trofi Inggeris, Manchester City.

Pada siri final playoff, kelab berpangkalan di Brussels itu tewas 1-2 di AA Ghent, menyebabkan mereka menghuni tangga tercorot kumpulan enam pasukan selepas sekali menang dalam 10 perlawanan.

Pertahanan Belgium, Kompany terdahulu menyatakan dia akan menyertai Anderlecht selepas membantu juara Liga Perdana Inggeris, City memenangi Piala FA Sabtu lalu untuk muncul pasukan pertama menang tiga trofi domestik Inggeris, termasuk Piala Liga.

Pemain berusia 33 tahun itu akan hadir di Anderlecht menyedari dia perlu bekerja keras di kelab yang menang rekod 34 kejuaraan liga Belgium, namun gagal beraksi baik musim ini dan berpisah dengan pengurus Fred Rutten sebulan lalu.

Penyokong Anderlecht yang berang membaling suar dan bom asap ke padang ketika perlawanan menentang musuh tradisi Standard Liege April lalu, menyebabkan kelab itu didenda dan beraksi satu perlawanan tanpa kehadiran penonton.

Susulan pusingan akhir playoff awal pagi tadi, juara Racing Genk layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dengan naib juara Club Bruges mara ke pusingan kelayakan. Pasukan tangga ketiga Standard Liege akan beraksi pada pusingan kelayakan Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 9:55 AM