GATLIN (kanan) memintas Kiryu dalam acara 100 meter di Osaka. - FOTO AFP
AFP

JUSTIN Gatlin mengatasi saingan sengit pelari Jepun Yoshihide Kiryu untuk memenangi acara 100 meter ketika rakan senegara Michael Norman turut memberi amaran awal kepada pencabar Kejohanan Dunia dengan menjuarai acara 200m Grand Prix Emas Osaka, hari ini.

Gatlin, 37, yang juga juara dunia mencatat 10.00 saat memintas Kiryu pada saat akhir di tempat kedua dengan catatan 10.01 saat.

Juara dunia bawah 20 tahun dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri menduduki tempat ketiga apabila meleburkan rekod sendiri yang juga rekod kebangsaan negaranya dengan catatan 10.03 saat sekali gus masa terpantas pernah dicatat atlet dari Asia Tenggara.

Ketika Gatlin menyasarkan kejayaan terakhir pada Kejohanan Dunia di Doha tahun ini, Norman pula melaung amaran apabila mencatat rekod baru kejohanan 19.84 saat mengatasi 0.03 saat catatan Frankie Fredericks dari Namibia 20 tahun lalu.

Sementara itu, kuartet 4x100m Jepun menebus kesilapan di Yokohama minggu lalu dengan menewaskan kuartet Amerika Syarikat di tempat kedua.

Kuartet Jepun yang dibantu Kiryu mencipta masa terpantas tahun ini dengan 38.00 saat meninggalkan kuartet AS diketuai Gatlin dengan masa 38.73 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 10:54 PM