De Ligt (tengah) menjulang trofi Eredivisie Belanda.
Agensi

MANCHESTER City mula mencari pengganti Vincent Kompany dengan Matthijs de Ligt dan Harry Maguire menjadi sasaran utama selepas kelab mengumumkan pemain itu beraksi buat kali terakhir ketika membelasah Watford 6-0 dalam final Piala FA, semalam.

Pep Guardiola kini mencari pemain mampu mengisi kekosongan ditinggalkan bintang Belgium berusia 33 tahun itu yang telah bersama City selama 11 tahun.

Kapten Ajax, De Ligt, 19, salah seorang pemain muda berbakat paling hangat diperkatakan ketika ini dan menjadi nadi kejayaan Ajax merangkul trofi berganda dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Barcelona pula sudah sekian lama meminati De Ligt. Walaupun juara Sepanyol itu pasukan pilihan mendapatkan pemain antarabangsa Belanda itu, City enggan ketinggalan dan sedia berentap dengan Barca untuk mendapatkan de Ligt.

Guardiola turut berminat dengan bintang Leicester dan England, Harry Maguire walaupun belum membuat sebarang langkah mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu.

Pilihan lain termasuk pemain Inter Milan, Milan Skriniar dan pemain Bournemouth, Nathan Ake tetapi pemain itu baru sahaja menandatangani kontrak baharu.

Ketiadaan Kompany bermakna Nicolas Otamendi bakal kekal di Etihad selepas hampir meninggalkan pasukan itu akibat kerap memanaskan bangku simpanan dengan Atletico Madrid, Wolves dan West Ham berminat mendapatkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 6:55 PM