Agensi

KAPTEN dan ikon Manchester City, Vincent Kompany akan meninggalkan kelab itu pada musim panas ini.

Pemain bek tengah itu mengumumkan akan akan mengakhiri kariernya selama 11 tahun di Etihad, sehari selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengesahkan tiga gelaran domestik.

Kompany, 33, memenangi empat gelaran EPL bersama City sejak menyertai kelab itu pada 2008.

Dia juga menjulang dua Piala FA, empat Piala Liga dan dua Piala Perisai Komuniti.

Dia beraksi sebanyak 360 perlawanan bersama kelab itu dengan meledak 20 gol.

Jaringan terakhirnya yang menerjah jaring ketika City menang ke atas Leicester memastikan kelabnya itu meraih mata penting dalam saingan perebutan liga musim ini mengatasi Liverpool.

Bagaimanapun, pemain Belgium itu dilanda masalah kecederaan sejak empat musim lalu yang memberi impak kepada pertahanan pasukannya.

City mengumumkan akan membuat perlawanan perpisahan untuk Kompany pada September ini.

Menerusi surat terbuka kepada peminat kelab itu, Kompany menulis: "Musim ini begitu sengit sehingga penghujung. Musim ke-11 sebagai pemain Blue.

"Saya tidak dapat membayangkan saya menulis perkara ini dan ini kali terakhir sebagai seorang pemain Blue.

"Masanya sudah tiba untuk pergi sekarang. Atas kegembiraan ini, saya tidak merasa apa-apa kecuali rasa berterima kasih.

"Sheikh Mansour mengubah hidup saya dan buat penyokong City di serata dunia saya akan sentiasa berasa bersyukur.

"Ia perkara berulang-ulang untuk diperkatakan tetapi ia benar: “Tanpa rakan sepasukan, saya tidak akan berada di sini”.

Dalam perkembangan terbaru, Kompany dilantik sebagai pemain-pengurus baru kelab Belgium, Anderlecht.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 5:53 PM
Kompany tinggalkan City selepas 11 tahun bersama kelab EPL itu. FOTO EPA