Dhabitah (kiri) dan Wendy raih tempat keenam di London. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


PERSEFAHAMAN antara Wendy Ng dan Dhabitah Sabri semakin mantap apabila mereka bangkit dari kedudukan terakhir di Kazan, Russia meraih tempat keenam tiga meter papan anjal seirama wanita di Siri Terjun Dunia di London.

Pungutan mata dicatatkan Wendy-Dhabitah juga menunjukkan peningkatan ketara apabila mereka berjaya mengumpul 285 mata berbanding 262.74 minggu lalu.

"Menamatkan aksi di tempat keenam, semalam keputusan tidak terlalu teruk.

Sebelum ini, saya kembali berlatih dalam tempoh tiga bulan dan tidak lebih lima kali berlatih bersama Dhabitah," kata Wendy ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Ujarnya, persembahan dipamer bersama Dhabitah jelas sekali lebih baik berbanding di Kazan dan dia berpuas hati dengan peningkatan prestasi dalam tempoh singkat.

"Persefahaman antara saya bersama Dhabitah juga sangat baik.

Saya berpuas hati dengan semuanya di sini termasuk cara terjunan," katanya dibimbing oleh jurulatih China, Li Rui.

Wendy berkata, selepas dua Siri Terjun Dunia di Eropah, dia akan kembali menjalani latihan seperti biasa di Kuala Lumpur untuk mempersiapkan diri bagi Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan Julai depan.

Dalam aksi semalam, emas diraih Maddison Keeney-Anabelle Smith (Australia) selepas mengumpul 323.7 mata mengenepikan Lin Shan-Chang Yani (China) yang memperoleh 316.77 mata.

Gangsa dalam acara berkenaan diraih Jennifer Abel-Melissa Citrini Beaulieu dari Kanada selepas mencatat 306.45 mata.

Sementara itu, dalam acara 10m platform seirama campuran, gandingan Hanis Nazirul Jaya Surya-Leong Mun Yee menduduki tempat terakhir namun dari segi pungutan mata berjaya menunjukkan peningkatan.

Di Kazan minggu lalu mereka menduduki tempat kelima dengan meraih 278.40 mata manakala semalam mereka meraih tempat keenam tapi berjaya memperoleh 288.12 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 3:48 PM