MOHD Harrif (tengah) muncul juara peringkat kedua saingan Le Tour de Langkawi 2019 dari Senawang ke Melaka.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PELUMBA Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh mahu meneruskan rentak positif yang dipamerkannya semasa Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan lalu.

Selepas berehat kira-kira lima minggu, dia akan menyertai perlumbaan PRUride PH di Filipina bersama-sama rakan sepasukan yang lain.

Perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia bermula pada Rabu hingga Ahad depan.

“Saya masih merasakan berada di tahap terbaik. Sasaran awal adalah untuk menang salah satu daripada empat peringkat yang dipertandingkan kerana laluan yang dipertandingkan di sana adalah landai,” jelasnya.

Menurut Harrif, latihan tetap diteruskan pada waktu malam bagi membolehkan dia mengekalkan tahap kecergasan.

“Saya mengharapkan perlumbaan dapat berakhir dalam kelompok besar sekali gus membuka peluang yang lebih luas kepada saya untuk melakar kemenangan,” tambahnya.

Pada LTdL bulan lalu, Harrif melakar pencapaian membanggakan apabila memenangi satu peringkat pada perlumbaan berstatus hors, pelumba tempatan kedua melakukannya selepas Anuar Manan pada 2010 sejak ia mula dipertandingkan pada 1996.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 8:00 PM