ANDRIEIEV (dua kanan) bersama rakan sepasukan meraikan gol pertama TFCII. FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


TERENGGANU FC II (TFC II) kembali menemui sentuhan kemenangan selepas berjaya menundukkan PDRM 1-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Pemain import kelahiran Ukraine, Serhii Andrieiev muncul watak penting skuad Penyu selepas jaringannya membantu pasukannya mengutip tiga mata penuh.

Terdahulu aksi hambar yang dipamerkan anak buah Tengku Hazman Raja Hassan dan E Elavarasan ternyata membosankan lebih 200 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan itu.

Sepanjang 40 minit pertama, hanya dua percubaan tepat dimiliki skuad The Cops melalui ayam tambatannya, Patrick Ronaldinho yang terkena tiang pada minit kelima dan rembatan deras dalam kotak penalti pada minit ke-27 yang sedikit melepasi tiang gol.

Selebihnya bola banyak berlegar di tengah padang dengan arkitek kedua-dua pasukan bagaikan ‘kering’ idea untuk menjana dan mengatur gerakan menarik.

Ketika perlawanan hampir menuju ke bilik persalinan, peluang pertama dimiliki skuad The Turtles berjaya diterjemahkan dengan jaringan menerusi Andrieiev pada minit ke-43.

Jaringan itu berpunca daripada sepakan jauh pemain kelahiran Marang, Hassan Basri Ahmad Ridzuan yang singgah di kepala Andrieiev sebelum pemain itu melakukan tandukan yang gagal ditepis keluar penjaga gol pelawat, Mohd Shahril Saari.

Pada minit ke-66 skuad TFC II mampu menambah jaringan kedua, tetapi rembatan deras Takhiyuddin Roslan yang hanya berdepan dengan penjaga gol gagal menembusi jaring selepas berjaya ditampan penjaga gol sekali gus kedudukan kekal 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 12:59 AM