Casillas mahu bersara. FOTO AP
Agensi

PENJAGA gol Porto, Iker Casillas dilaporkan merancang untuk mengumumkan persaraan daripada bolasepak selepas diserang sakit jantung, baru-baru ini.

Pemenang Piala Dunia berusia 37 tahun itu mahu menamatkan kariernya pada penghujung musim kerana tidak mahu masa depan yang tidak pasti, menurut akhbar Portugal, O Jogo.

Casillas yang membuat 725 penampilan untuk gergasi Sepanyol Real Madrid, dimasukkan ke hospital selepas rebah di padang ketika menjalani latihan bersama Porto, awal bulan lalu.

Dia dibenarkan keluar hospital lima hari kemudian tetapi terpaksa memnbuat keputusan untuk menamatkan karier.

Selepas meninggalkan hospital Porto, Casillas memberitahu wartawan: “Saya tidak tahu mengenai masa depan saya tetapi paling penting saya berada di sini (hospital).

“Saya berasa lebih baik sekarang. Saya akan berehat selama beberapa minggu atau beberapa bulan.”

Porto yang masih bersaing untuk gelaran Liga Portugal tetapi ketinggalan dua mata di belakang pencabar terdekat, Benfica dengan kurang satu perlawanan.

Casillas berhasrat mengumumkan persaraan selepas dua aksi terakhir pasukannya itu termasuk final Piala Portugal menentang Sporting pada 25 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 5:40 PM