SATHIA tidak mahu anak buahnya mengharapkan kempuan Ifedayo sahaja. FOTO/NSTP
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


MENJELANG aksi Liga Super menentang PKNP FC di Stadium Mini Manjung malam ini, pengendali Selangor B Sathianathan meminta anak buahnya supaya menunjukkan kemampuan yang ada tanpa terlalu bergantung kepada penyerang baharu, Ifedayo Olusegun.

Ifedayo yang mula menyertai skuad Red Giants pada jendela perpindahan kedua awal bulan ini tidak menunggu lama untuk mempamerkan bisanya apabila meledak hatrik dalam penampilan pertamanya bertemu Kedah Rabu lalu.

Kejayaan merekodkan hatrik itu nyata melegakan kem Merah Kuning yang sebelum ini berdepan masalah ketumpulan serangan apabila hanya mampu meraih empat kemenangan dalam 12 aksi liga dengan selebihnya hanya seri enam kali dan dua kekalahan.

"Kami perlu cari strategi untuk membolehkan kami seimbangkan barisan serangan. Jika dia (Ifedayo) tiba-tiba tidak boleh beraksi akibat kesihatan atau kad kuning, pasukan perlu menunjukkan prestasi yang sama," kata Sathianathan yang pernah membimbing skuad kebangsaan.

"Sebab itu saya mahu pemain lain juga boleh menjaringkan gol dan tidak terlalu bergantung harap kepadanya. Memang saya gembira dengan prestasi dia tapi pemain lain juga kena bersedia.

"Motivasi pasukan berada pada tahap terbaik ketika ini dan kami mahu meneruskan rentak positif ini apabila menentang PKNP," katanya.

Selangor ketika ini berada pada tangga ketiga Liga Super dengan 21 mata dan hanya ketinggalan empat mata di belakang Pahang di kedudukan kedua serta jurang 12 mata dengan pendahulu Johor Darul Ta'zim di puncak liga.

Sementara itu, Faiz Nasir kemungkinan akan kembali memperkuatkan pasukan apabila berkunjung ke Manjung malam ini.

"Masa lawan Kedah Faiz tak main sebab dia mengalami kecederaan buku lali jadi saya kena hati-hati turunkan dia. Tapi mungkin perlawanan selepas ini dia bermain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 4:18 PM