SKUAD kanu polo negara. — FOTO MASCA
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


WALAUPUN sekadar menamatkan saingan di tempat ke-14 pada Kejohanan Antarabangsa Pas de Calais di Perancis baru-baru ini, pencapaian skuad kanu polo negara sudah cukup memberi kepuasan kepada Persatuan Kanu Malaysia (MASCA).

Presiden MASCA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, walaupun menamatkan saingan di kedudukan kedua tercorot, namun banyak perkara yang dipelajari lapan pendayung negara.

“Di Malaysia sukan ini mungkin belum mendapat tempat tapi di Eropah ia menjadi antara sukan yang digemari peminat di sana.

“Jadi apabila mendapat tempat kedua terakhir daripada 15 negara kuasa besar kanu polo dunia ia membawa makna yang amat besar buat kami,” katanya.


SKUAD kanu polo negara bersaing di Calais, baru-baru ini. — FOTO MASCA

Jelasnya lagi, walaupun kanu polo tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Filipina 2019, namun ia tetap penting untuk memberi pendedahan kepada atlet kerana ia menjadi antara salah satu acara utama Sukan Asia Hangzhou 2022.

“Selepas ini mereka akan bertanding dalam dua kejuaraan termasuk Kejohanan Kanu Polo Asia dan kejohanan terbuka di Pattaya, Thailand hujung tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 1:49 PM