MARIA beraksi pada pusingan keempat Terbuka Australia, Januari lalu. — FOTO Reuters
AFP

MARIA Sharapova menarik diri daripada Terbuka Perancis tahun ini kerana kecederaan bahu, umum juara Roland Garros dua kali itu, awal pagi tadi.

Maria, 32, yang menang lima gelaran Grand Slam, tidak beraksi sejak menarik diri di negara kelahirannya Russia hujung Januari lalu.

“Kadang-kadang keputusan tepat bukannya selalu yang paling mudah,” katanya dalam akaun Instagram.

“Berita baik, saya sudah kembali ke gelanggang latihan dan secara perlahan membina kembali kekuatan di bahu,” katanya berserta gambar dia menjulang trofi Roland Garros pada 2014.

Februari lalu, pemain nombor 35 dunia itu berkata, dia menjalani prosedur kecil untuk memulihkan masalah bahunya yang berpanjangan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu terlepas tempat ke suku akhir Terbuka Australia Januari lalu.

Maria bergelut untuk kembali ke tahap kecergasan terbaik sejak berehat ketika digantung 15 bulan kerana doping yang berakhir pada 2017.

Terbuka Perancis tahun ini akan berlangsung dari 26 Mei hingga 9 Jun dengan Rafael Nadal dan Simona Halep tampil sebagai juara bertahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 11:47 AM