MARRIOTT (kiri) mengatasi penjaga gol Leeds, Kiko Casilla (kanan) bagi gol kemenangan Derby. — FOTO Reuters
AFP

JACK Marriott meledak dua gol bagi kebangkitan dramatik yang menyaksikan Derby County mengalahkan Leeds United 4-2 sekali gus melengkapkan kemenangan 4-3 secara agregat untuk layak ke final playoff Liga Kejuaraan Inggeris.

Bekas pemain tengah Chelsea dan England, Frank Lampard kini hanya memerlukan satu kemenangan untuk mengemudi Rams kembali ke Liga Perdana Inggeris dalam musim sulungnya sebagai pengurus, dengan Aston Villa menanti mereka di Wembley pada 27 Mei ini.

Leeds, yang membawa bekalan 1-0 pada aksi pertama, meledak gol awal di depan penyokong mereka sendiri di Elland Road, awal pagi tadi.

Namun gol pertama Marriott beberapa saat sebelum rehat membantu Rams kembali bernafas dan dia menamatkan perlawanan yang berakhir dengan kedua-dua pasukan beraksi 10 pemain dengan menjaringkan gol kemenangan lima minit sebelum tamat.


LAMPARD (kiri) meraikan kemenangan pasukannya bersama pemain dan pegawai. — FOTO Reuters

Kemenangan Derby amat mengagumkan memandangkan pasukan Lampard yang menghuni tangga keenam liga muncul pasukan terakhir layak ke playoff.

“Saya katakan kepada pemain setiap orang tidak yakin kami layak. Kami perlukan pemain memperagakan keberanian ketika memegang bola dan mereka melakukannya,” kata Lampard kepada Sky Sports.

“Kami perlu menikmati saat ini tapi kini kena bersiap sedia bertemu Aston Villa, namun kami tampil sebagai pasukan bukan pilihan sekali lagi.”

Bos Leeds, Marcelo Bielsa, yang bercakap menerusi penterjemah, kesal dengan kegagalan pasukannya menggunakan sepenuhnya dominasi babak pertama.

“Kami patut meledak lebih banyak gol pada babak pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 8:15 AM