MALAYSIA tiada wakil dalam Moto2 selepas Khairul Idham alami kecederaan di Sepanyol.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


KETIADAAN pelumba Moto2 negara daripada pasukan PETRONAS Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi yang perlu berehat kira-kira enam hingga lapan minggu berikutan kecederaan, mula memberi kesedaran bahawa Malaysia tidak mempunyai pelumba berbakat untuk menggantikannya.

Ketua Pegawa Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang juga Prinsipal PETRONAS SRT, Datuk Raz
lan Razali berkata, arena sukan permotoran tempatan perlu lebih serius selepas ini untuk melahirkan pelumba berbakat seperti Khairul atau Hafizh Syahrin Abdullah.

“Apabila Khairul mengalami kecederaan dan dia tidak dapat beraksi untuk sekurang-kurangnya enam hingga lapan minggu, saya mula sedar bahawa kita hanya tinggal seorang saja pelumba Malaysia iaitu Hafizh Syahrin.

“Sebab itu sekarang fokus perlu diberikan kepada pelumba pelapis. Contohnya di bawah SIC kami ada pasukan ZK Racing yang mempunyai tanggungjawab untuk melahirkan pelumba berbakat ke saingan MotoGP.

“Dengan Zulfahmi Khairuddin (bekas pelumba negara) sebagai pengurus untuk pasukan itu, saya yakin dia dapat melahirkan pelumba berkualiti,” katanya.

Razlan berkata, dalam konteks pasukan, Malaysia sudah pun mempunyai pasukan sendiri di dalam ketiga-tiga kategori Moto3, Moto2 dan MotoGP menerusi PETRONAS SRT.

Justeru katanya, perkara paling ‘kritikal’ ketika ini adalah menghasilkan pelumba yang mampu beraksi di perlumbaan berprestij itu.

“Dalam konteks pembangunan pelumba, kebanyakan pihak tidak sabar. Mereka mahu melihat pelumba ini cepat-cepat ke MotoGP tetapi sebenarnya mereka tidak dapat bersedia sepenuhnya,” katanya.

Khairul atau Super KIP mengalami kecederaan di tangan kanan pada Grand Prix (GP) Sepanyol sekali gus menyaksikan tempatnya digantikan sementara oleh Mattia Pasini bermula di GP Perancis hujung minggu ini.

Sementara itu, walaupun masih gagal untuk mengutip sebarang mata selepas empat pusingan, Hafizh Syahrin tetap bersikap positif menjelang perlumbaan seterusnya hujung minggu ini di Grand Prix (GP) Perancis.

Pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu masih kekal percaya pasukannya akan cuba memastikan jenteranya mampu memberi saingan lebih baik berbanding di kelompok belakang ketika ini.

“Saya tahu ia bukan tugas mudah untuk kami tetapi saya percaya dapat beraksi lebih baik walaupun ketika ini masih memerlukan masa untuk memahami segala-galanya.

“Tahap motivasi saya tetap tinggi selain terus menjalani latihan dengan kerap. Saya tidak pernah berhenti daripada mempelajari sesuatu dan yakin pasukan akan bertambah baik selepas ini. Jadi sama-sama kita lihat apa yang boleh saya lakukan di Perancis,” katanya.

Jelas pelumba yang mendapat gelaran Pescao itu, Le Mans adalah antara litar yang cukup digemarinya sekali gus memberi motivasi tambahan kepadanya untuk cuba melakukan sesuatu pada perlumbaan Ahad ini.

Dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 pada musim lalu bersama Monster Yamaha Tech 3 sekali gus meraih empat mata berharga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:05 AM