SYED Saddiq (kiri) bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) pada Sambutan Hari Belia 2019 di UKM, Bangi, semalam. -Foto BERNAMA
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


KEJAYAAN Qatar muncul juara Piala Asia pada Februari lalu akan dijadikan contoh buat skuad Harimau Malaya bagi memastikan impian layak ke Piala Dunia 2030 menjadi kenyataan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau yakin misi itu mampu dilaksanakan apabila model pembangunan menerusi sistem naturalisasi digunakan sepenuhnya di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) dalam masa terdekat.

Jelasnya, dengan mengambil inspirasi kejayaan Akademi Aspire di Qatar membangunkan bakat muda dari seluruh dunia menyaksikan mereka berjaya menaturalisasikan pemain daripada usia muda.

“Kami tiada masalah (hasrat FAM gunakan kaedah naturalisasi) selagi aspek pembangunan akar umbi diteruskan. Kalau kita lihat kejayaan Akademi Aspire di Qatar sekarang ini sudah berjaya melahirkan pemain terbaik Asia, dan Qatar pun menang (Piala Asia) baru-baru ini.

“Kebanyakan pemain mereka pun pemain Akademi Aspire, jadi kita mahu jadikan AMD seperti Aspire di Qatar. Kita tak boleh fikirkan naturalisasi yang dah melangkau 20 tahun atau 25 tahun tetapi kita kena bermula awal. Sebagai contoh di Aspire mereka bermula daripada umur muda lagi, 12, 13 dan 14 tahun mereka cari pemain terbaik berbakat di serata dunia dan tempatkan akademi berkenaan.

“Di situ akan ada campuran pemain tempatan dan antarabangsa supaya akhirnya rentak permainan dapat diwujudkan dan akan bawa perkara lebih baik. Mereka yang terbaik dan menonjol akan dinilai dan akhirnya akan dinaturalisasikan untuk bermain bagi pasukan Qatar dan di Malaysia kita nak lakukan perkara sama,” katanya pada Sambutan Hari Belia 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, semalam.

Beliau berkata, perkara terbabit sudah dibincangkan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan badan induk bola sepak tempatan itu.

“Saya sudah pun berbincang perkara ini dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan beliau bersetuju. Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada beliau dan kita sehaluan dalam memastikan Malaysia akan masuk FIFA 2030 Piala Dunia,” katanya.

Untuk rekod, Akademi Aspire diiktiraf sebagai salah satu yang terbaik di dunia dalam aspek mengesan dan memilih bakat selain pemain itu perlu menjalani latihan, pertandingan dan penilaian yang ketat.

Mereka membangunkan pemain seawal usia enam hingga 11 tahun dari serata dunia termasuk pemain tempatan Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:01 AM