Sandro Da Silva Mendoca (dua, kanan) cuba mengasak pemain Kedah Mohamad Zaquan Adha Abd Razak (kiri) dalam perlawanan Liga Super. FOTO Bernama.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


MASALAH ketandusan penyudah dalam 12 aksi Liga Super akhirnya terlerai buat Selangor apabila kehadiran penyerang baharu Ifedayo Olusegun membantu skuad Red Giants meraih kemenangan bermakna menewaskan Kedah 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Lebih manis, kemunculan sulungnya bersama skuad kendalian B Sathianathan itu menyaksikan dia meledak hatrik pada aksi Liga Super musim ini.

Kemenangan itu membolehkan Selangor memintas kedudukan Kedah untuk berada di tangga ketiga dengan mengumpul 21 mata daripada 13 aksi setakat ini.

Malah, ia turut meletakkan skuad Merah Kuning di landasan tepat mengejar Pahang dan Johor Darul Ta'zim yang kini selesa berada di dua kelompok teratas liga dengan masing-masing meraih 25 dan 33 mata.

Pada aksi terbabit, tiada percubaan berbahaya dapat dihasilkan dalam tempoh 30 minit pertama sebelum gerakan menarik menerusi hantaran Sandro da Silva yang disudahkan oleh Ifedayo untuk gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-34.

Selangor terus mengasak dan seharusnya menambah lagi gol tetapi ketangkasan penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat untuk menafikan segala percubaan penyerang tuan rumah.

Ifedayo yang pernah menjadi 'mesin' gol buat FELDA United dan Melaka United tampil sekali lagi membuktikan sentuhan berbisanya apabila meledak gol kedua pada minit ke-44 selepas Ifwat melakukan kesilapan apabila gagal membaca percubaan tinggi Ifedayo itu.

Memasuki babak kedua, tuan rumah terus selesa di depan kali ini gerakan cantik dari K Sarkunan yang tepat sampai ke kaki Ifedayo untuk merekodkan gol ketiga yang juga hatrik pertamanya di minit ke-57.

Biarpun ketinggalan tiga gol, skuad Helang Merah kendalian Aidil Sharin Sahak tidak mudah mengibarkan bendera putih sebaliknya pelawat berjaya meraih gol saguhati menerusi Jonatan Bauman di minit ke-64.

Gol itu nyata menyuntik semangat Kedah namun ia sudah terlambat untuk menghalang Selangor daripada meraih tiga mata penuh dalam aksi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 12:14 AM