ANTOINE Griezmann akan meninggalkan Atletico Madrid sebaik musim ini berakhir. FOTO EPA
AFP

PENYERANG Perancis Antoine Griezmann memberitahu Atletico Madrid dia akan meninggalkan kelab itu sebaik musim ini berakhir, katanya menerusi Twitter awal pagi tadi.

Griezmann,28, mempunyai kontrak sehingga 2023 bersama Atletico tetapi memiliki tebus kontrak bernilai 120 juta euro (RM561.2 juta) dan beberapa kali menjadi sasaran kelab pencabar La Liga, Barcelona.

“Antoine Griezmann memberitahu kelab itu dia tidak akan menyambung tugas sebagai Rojiblanco (merah dan putih, warna kelab itu) musim depan,” kata kelab itu menerusi Twitter.

Beberapa detik kemudian pemain itu memuat naik video menjelaskan situasi itu.

“Selepas berbincang dengan Cholo (jurulatih kelab Diego Simeone), kemudian dengan Miguel Angel dan mereka dalam hierarki kelab, saya mahu bercakap dengan anda, peminat yang sentiasa memberikan kasih saya kepada saya,” kata Griezmann, menyarung kemeja T hitam polos berlatar belakangkan dinding putih di belakangnya.

“Saya mahu memberitahu anda, saya mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab,” kata pemenang Piala Dunia 2018 dari Perancis itu.

“Saya menikmati lima tahun menakjubkan di sini dan anda sentiasa di hati saya,” kata penyerang yang dikenali dengan tarian daripada permainan video Fortnite, setiap kali meraikan gol jaringannya.

“Hakikatnya memang sukar untuk mengambil haluan ini tetapi itulah yang saya rasa saya perlukan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua atas kasih sayang yang anda tunjukkan sepanjang lima tahun ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 11:53 AM