PEMAIN Aston Villa meraikan kemenangan pada playoff separuh akhir Liga Kejuaraan awal pagi tadi. FOTO Reuters
AFP

HANYA satu perlawanan memisahkan Aston Villa dengan kepulangan mereka ke Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan pencabar dari West Midlands West Bromwich Albion 4-3 menerusi penalti pada playoff separuh akhir Liga Kejuaraan awal pagi tadi.

West Brom menang 1-0 di Hawthorns untuk terikat secara agregat 2-2 hasil tandukan Craig Dawson pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun harapan Baggies untuk kembali ke liga utama terhenti apabila kapten pasukan Chris Brunt dibuang padang 10 minit sebelum tamat masa perlawanan sebenar.

Tuan rumah kekal bertahan pada masa tambahan tetapi penjaga gol Villa Jed Steer berjaya menyelamatkan dua percubaan penentuan penalti West Brom menerusi Mason Holgate dan Ahmed Hegazi.

“Jelas sekali kami bernasib baik tetapi wow,” kata Steer.

“Kami membuat latihan sepakan penalti jadi saya fikir saya mungkin melakukannya 100 kali sehari sejak beberapa hari lalu.

Conor Hourihane, Mile Jedinak, Jack Grealish dan Tammy Abraham berjaya meledak jaringan bagi membolehkan Villa berdepan aksi menentang Leeds atau Derby di Wembley 27 Mei ini untuk tiket ke Liga Perdana.

Leeds kendalian Marcelo Bielsa memiliki kelebihan 1-0 pada aksi pertama ke atas skuad Frank Lampard, Rams menjelang aksi kedua di Elland Road awal pagi esok.

Villa gagal pada final playoff tahun lalu, tewas 0-1 kepada Fulham dan Grealish yang dikaitkan dengan perpindahan ke Tottenham musim panas ini mahu memberikan sesuatu dalam apa yang mungkin menjadi perlawanan terakhirnya di kelab itu.

“Penyokong lawan menjadikan suasana lebih sukar tetapi pada akhirnya kami menang,” kata pemain tengah itu.

“Tak seronok jika dapat pergi ke Wembley tapi kalah pada halangan terakhir lagi, jadi kami terus berharap. Kami semua sungguh bersemangat.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 9:12 AM