Nurul Huda Abdullah. FOTO File NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


"Contohi Nurul Huda Abdullah" .Itu mesej yang cuba disampaikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kepada atlet apabila memutuskan untuk melantik legenda renang negara sebagai timbalan ketua kontinjen (CDM) bagi Sukan SEA Filipina, hujung tahun nanti.

Atlet terbaik negara dengan meraih 22 emas Sukan SEA itu bakal bergandingan bersama CDM, Datuk Megat Zulkarnaian Omardin yang dibantu seorang lagi timbalan CDM, Ahmad Faedzal Md Ramli sudah diumumkan terlebih awal.

"Saya fikir gabungan yang mampan dengan Nurul Huda sebagai bekas atlet negara yang cemerlang di Sukan SEA manakala CDM adalah Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) berpengetahuan luas sebagai pentadbir sukan selain kehadiran Ahmad Faedzal sebagai Ketuai Pegawai Eksekutif (CEO) di Institut Sukan Negara (ISN).

"Ia kombinasi yang baik memandangkan cabaran yang bakal dihadapi seperti peningkatan jenis sukan dipertandingkan dengan Malaysia sudah memutuskan menyertai 51 daripadanya.

"Selain itu aspek logistik yang membabitkan jarak yang jauh antara venue pertandingan memerlukan perancangan yang teliti," jelas Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Tambahnya, gabungan tiga individu berkenaan juga penting memandangkan Sukan SEA bakal membabitkan sejumlah atlet baru sekali gus memerlukan kepada pemimpin yang memahami jiwa dan aspirasi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 10:12 PM